FATIN vs FARAH




Hasil seni yang berbeza daripada Fatin dan Farah.

      Mana satu lukisan Fatin dan yang mana lukisan Farah? Cubalah teka!😁

      Saya bagi clue ye...Farah akan mendaftar kemasukan semester I Diploma Seni Reka Grafik Dan Media Digital di UITM pertengahan Ogos ini. Fatin pula sedang menunggu keputusan temuduga USM. Menunggu dalam debar sebenarnya. 

     Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Allah permudahkan urusan mereka. Apa yang dihajati, Allah kabulkan.

     Doa saya, semoga anak-anak saya diberikan kejayaan yang manis-manis. Mereka anak-anak yang baik.

     Sewaktu di MRSM, jadual Fatin penuh kerana memegang Biro Kebajikan. Setiap kali pelajar pulang bermalam wajib (PB wajib), dia sibuk menguruskan chartered bus.

     Kerisauan saya selalu tidak bertepi bila dia mengadu, dia tidak cukup masa untuk mengulangkaji. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani, empat semester yang dilalui, Anugerah Pengetua tidak pernah dilepaskan.

     Bila SPM berakhir, dia juga tidak tenang. Setiap kali orang bertanya, "Macam mana SPM?"

    "Entahlah." Dia menjawab dengan wajah kosong.

     Bila SPM diumumkan, saya menangis. Saya dan suami melihat dia berdiri bersama rakan- rakan di atas pentas. Kami seolah-olah menonton dia dan masa depannya.

    Sejujurnya saya tidak pernah mahu dia menjadi yang paling baik. Memadai jika dia tergolong dalam kalangan yang terbaik. Mungkin kerana itu, dia tidak pernah berhutang A dengan saya dalam setiap peperiksaan besarnya.

    Farah? Dari kecil, dia anak yang periang. Saya tidak mahu membezakan pencapaian akademiknya dengan Fatin. Itu tidak adil baginya.

    Cita-citanya sering berubah. Bermula dengan minat untuk menjadi chef. Kemudian beralih kepada jururawat. Tidak lama selepas itu, dia ingin menjadi seorang komposer. Sempat juga mengambil peperiksaan Guitar Pop and Rock hingga Gred 3.

    Akhirnya, " I want to be a graphic designer." Titik.

    Seringkali E dan D untuk Matematik terpapar di skrin komputer pada aplikasi SAPS. Kadangkala, terasa berat hendak menelan air liur  sendiri setelah keputusannya diketahui. 

   "Kenapa result teruk?"

   "Ala...result kawan-kawan kita lagi teruk."

    Pandai menjawab, itu kelebihan semulajadinya.

    Lalu mesej saya jelas, "Kalau awak gagal Maths, susah awak nak minta kursus yang awak nak. Ramai lagi yang lebih bagus dan layak daripada awak.

   Namun, saya harus memuji tekad dan usahanya. Apabila keputusan SPM diumumkan, dia memperoleh B untuk Matematik. Walaupun cuma beberapa A+ dan A diraih, saya tetap bangga atas pencapaiannya.

   Sebagai ibubapa, kita bantu anak-anak untuk meneroka keunikan mereka. Kita sebagai pemudahcara. Minat akan membawa mereka ke lorong cita. Doa dan sokongan kita akan menyuluh jalan dan memastikan mereka berada di atas landasan.

   Jangan berhenti bermimpi. Sesungguhnya doa seorang Ibu tiada hijab.

   Pesan saya pada Fatin dan Farah, "Be whatever you wannabe. Be the limited edition."

#weareAideensfamily
#Fatinmyfirstborn
#Farahmycheekygirl


Comments

Popular posts from this blog

Majlis Apresiasi dan Hi-Tea 2018

My 4th -Yunus Faisal